Saturday, January 9, 2010

Amanat Penutup MPP Fakulti Perakaunan 2009/2010


Amanat Penutup Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Perakaunan UiTM Malaysia Sesi 2009/2010
  
Assalamualaikum W.B.T.
Kami di barisan Majlis Perwakilan Pelajar ingin mengucapkan ribuan terima kasih kerana telah memberi kami kepercayaan untuk memimpin kepimpinan pelajar di fakulti sepanjang sesi 2009/2010.  Sesungguhnya kami juga manusia biasa yang punya kelemahan, kami ingin menyusun sepuluh jari andai kata ada tindakan yang dilakukan sepanjang tempoh kami berkhidmat yang mengguris hati anda.
Terima kasih juga kepada pihak pengurusan fakulti terutama Dekan Fakulti Perakaunan, Prof Dr Ibrahim Kamal Abdul Rahman dan barisan pengurusan fakulti yang lain kerana telah banyak membantu kami dalam menjalankan tugas sebagai wakil pelajar. Aktiviti-aktiviti pelajar yang diadakan juga tidak akan sempurna tanpa bantuan daripada mereka.
Disini kami senaraikan beberapa perubahan yang dapat kami lakukan sepanjang perkhidmatan setahun kami di barisan kepimpinan pelajar fakulti sebagai MPP dan perubahan ini bukanlah 100% usaha kami sekiranya tiada pihak pengurusan yang sedia mendengar masalah pelajar yang sering kami keutarakan dan kami juga bersyukur ke hadrat Allah kerana tanpa kudratnya kami mungkin tidak akan mampu mengusahakan perubahan-perubahan ini. Antara perubahan yang dimaksudkan ialah:
1.       Projek Penggantian Kerusi Dewan Kuliah
Sebenarnya masalah kerusi dewan kuliah yang kebanyakannya rosak ini telah lama diperjuangkan dan Alhamdulillah pada  tempoh perkhidmatan kami, projek ini dapat dijalankan setelah beberapa kali tertangguh. Diharapkan agar para pelajar menggunakan kemudahan yang ada dengan sebaiknya.

2.       Mewujudkan Student Centre Di Tingkat 8
Sebenarnya student centre telah mula diwujudkan sejak 2 tahun yang lepas namun ramai pelajar yang masih belum tahu bahawa tingkat 8 adalah tingkat student centre maka di tempoh perkhidmatan kami, kami berusaha untuk menaikkan papan notis yang tertera Student Centre Faculty Of Accountancy dan Alhamdulillah dengan bantuan pihak pengurusan projek ini dapat dilaksanakan.

Penambahan Buku-buku Rujukan Untuk Pelajar Di Kampus UiTM Puncak Perdana
Para pelajar perakaunan di Kampus Puncak Perdana seringkali menghadapi masalah kekurangan buku di perpustakaan yang ada. Maka kami dengan bantuan pihak PTAR telah berusaha untuk menambahkan buku yang ada dan Alhamdulillah projek penambahan buku ini telah diluluskan dan terlaksana. Semoga buku yang dibekalkan digunakan dengan sebaiknya oleh para pelajar dan para pelajar yang akan datang.

4.       Penambahan Mesin ATM Di Kampus UiTM Puncak Perdana
Masalah ATM (Auto Teller Machine) di Puncak Perdana berlaku akibat daripada kewujudan satu sahaja mesin ATM disitu. Namun pada tempoh perkhidmatan kami dengan bantuan MPP Kampus Puncak Perdana dan Bahagian Bank Islam sendiri, satu lagi mesin ATM telah berjaya didapatkan dan Insyallah akan membantu para pelajar untuk mengeluarkan wang tanpa perlu beratur panjang sebagaimana sebelum ini.

5.       Mewujudkan Blog MPP Fakulti Perakaunan
Atas dasar daripada pelajar untuk pelajar, kami berusaha untuk mengadakan sebuah blog khas fakulti iaitu sebagai sumber informasi untuk para pelajar fakulti secara online. Kami menadaptasikan cara yang digunakan oleh Ketua-ketua Program yang menggunakan blog sebagai sumber info kepada pelajar. Dengan cara ini juga kami dib barisan MPP dapat menjawab persoalan yang timbul dan sebarang keraguan dikalangan para pelajar. Semoga kesinambungan blog ini dapat diteruskan agar para pelajar sentiasa sedar usaha yang dilakukan oleh MPP yang mana bukannya untuk dibanggakan tetapi sebagai suatu sumber informasi dari pelajar kepada pelajar.

6.       Merangkul Naib Johan Sukan Antara Fakulti UiTM Malaysia 2009
Alhamdulillah di bawah tempoh perkhidmatan kami dengan bantuan Saudara Izani, mantan-mantan MPP terdahulu, pengurus-pengurus dan ajk yang telah melaksanakan tugas dengan cemerlang, fakulti dapat merangkul kembali tempat kedua Sukan Antara Fakulti atau lebih dikenali sebagai SAF. Dengan kemenangan kita ini, kita dapat membuktikan betapa para pelajar fakulti perakaunan bukan sahaja hebat dimedan ‘balance sheet’ dan ‘income statement’ tetapi juga dilapangan sukan.

Kelemahan
Namun begitu ada juga kelemahan yang kami tidak mampu untuk mengubahnya dan diharapkan agar kepimpinan yang bakal dilantik pada pilihanraya akan datang akan dapat membaikinya ke arah melahirkan graduan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Antara kelemahannya ialah:
1.       Sistem Lif Yang Selalu Rosak
Suatu masalah yang dihadapi turun temurun oleh para pelajar fakulti perakaunan. Usaha untuk mendapatkan servis lif pada setiap bulan telah kami mohon daripada pihak terlibat, namun konsep bila terantuk baru tergadah sentiasa sahaja diamalkan dan masalah tersebut juga dihadapi oleh pihak pengurusan fakulti sendiri. Apa yang kami harapkan agar pada tempoh yang akan datang, perkhidmatan servis lif setiap bulan akan dapat dilaksanakan dan semoga kemudahan yang diberikan ini digunakan oleh kita sebagai pelajar sebaiknya.   

2.       Kurangnya Aktiviti Pelajar Sepanjang Julai – Nov 2009 akibat Daripada H1N1
Sebenarnya banyak program yang dirancang sepanjang tempoh tersebut namun perancangan Allah membatasi segalanya. Akibat musibah H1N1, kita terpaksa membatalkan banyak program dan banyak program yang berkonsepkan tahunan seperti Accountancy Day terpaksa dibatalkan dan akan diadakan pada bulan Mac ini dengan kerjasama daripada MICPA Insyallah.
3.       Sistem Pendaftaran Subjek 
      Masalah pada sistem portal sewaktu  pendaftaran subjek dan keputusan peperiksaan ini sebenarnya memang menyukarkan para pelajar bukan sahaja fakulti malah universiti ratanya. Walaupun telah banyak kali aduan daripada pihak MPP dan pihak fakulti kepada pihak bertanggungjawab dibuat namun usaha tersebut bagai mencurah air ke daun keladi, sistem yang bermasalah menjadi semakin bermasalah dan masalah tersebut akan menjadi lebih serius andai kata tidak diperbaiki menjelang target enrolmen 200,000 pelajar menjelang 2015.  

4.       Kesukaran Untuk Wakil Pelajar Di Puncak Perdana Untuk Mendapatkan Dana Tabung Amanah
Sebenarnya masalah ini berpunca daripada MPP sendiri yang kurang turun ke Puncak Perdana untuk memperolehi boring tabung amanah akibat daripada komitmen dan tanggungjawab hakiki kami sebagai pelajar. Masalah ini menyebabkan ada aktiviti pelajar yang diadakan di Puncak Perdana terpaksa menggunakan duit para pelajar. Kami menyeru kepada kepimpinan yang baru agar menggunakan email sebagai medan untuk serahan borang-borang tabung amanah ini agar lebih banyak aktiviti dapat dijalankan di Puncak Perdana. Kami di barisan MPP juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Saudara Meor Mustaqim dan barisan kepimpinan pelajar Fakulti Perakaunan Kampus Puncak Perdana kerana telah banyak membantu dalam mengorganisasikan aktiviti-aktiviti pelajar seiring dengan aktiviti-aktiviti pelajar di induk.
Akhir kata daripada kami, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada barisan sekretariat MPP atau SMF dan persatuan-persatuan dalaman kerana telah membantu kami sepanjang tempoh perkhidmatan kami dan sekali lagi kami menyusun sepuluh jari andai kata kelemahan dan kesilapan disepanjang perkhidmatan kami mengguris hati anda dan sesungguhnya yang baik itu datangnya dari Allah dan yang buruk itu dari diri kami sendiri. Dan kami juga menyeru anda agar sama-sama turun ke pilihanraya MPP yang akan datang dan pilihlah calon yang anda rasakan layak untuk membawa suara ketidakpuashatian anda ke peringkat fakulti seterusnya universiti inyallah.  
Berkhidmat Untuk Nusa, Bangsa Dan Negara
Sekian

Mohd Ashraf Bin Mohd Zabidi & Sahisal Azira Binti Mat Said
Majlis Perwakilan Pelajar
Fakulti Perakaunan UiTM Malaysia
Sesi 2009/2010

No comments:

Post a Comment